SEPTEMBER 2024

Premier, Timbalan-Timbalan Premier Hadiri Mesyuarat MA63


KUCHING: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Haji Johari  bin Tun Abang Haji Openg pada Khamis telah berada di Kota Kinabalu  untuk menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Khas MA63 yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. 

Turut hadir Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor serta Timbalan-Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian dan Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Menurut laporan BERNAMA yang memetik kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof pada sidang akhbar pasca mesyuarat sebanyak 11 tuntutan di bawah platform rundingan  MA63 telah berjaya diselesaikan. 

Beliau berkata tujuh tuntutan diselesaikan di bawah pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim termasuk Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah dan Sarawak sebagai Jabatan Teknik, penyerahan kuasa kawal selia bekalan gas serta pindaan Akta Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) 1995 [Akta 533] bagi melantik wakil Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak sebagai anggota tetap LHDN.

Fadillah, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Teknikal MTPMA63, berkata penyelesaian itu turut merangkumi tuntutan berkaitan pentadbiran badan kehakiman di Sabah dan Sarawak, garis panduan khas penyerahan semula tanah dirizabkan bagi maksud Persekutuan di Sabah dan Sarawak.

"Komitmen di bawah Perdana Menteri Ke-10 menyaksikan lebih banyak perkara yang dapat diputuskan dalam tempoh dua tahun ini," katanya

Selain itu, pindaan Perlembagaan Persekutuan Perkara 1(2) dan Perkara 160(2) Perlembagaan Persekutuan serta pemberian kuasa berkaitan pelesenan dan penangkapan ikan laut dalam kepada Sabah dan Sarawak.

Beliau berkata penyerahan kuasa kawal selia Gas Petroleum Cecair (LPG) kepada Sarawak pula dilakukan semasa pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Fadillah berkata Mesyuarat MTPMA63 penting bagi membolehkan kerajaan merencana tindakan susulan yang pragmatik berhubung status tuntutan di bawah MA63 yang belum selesai dilaksanakan.

"Atas komitmen itu juga, kita telah memutuskan untuk menambah baik struktur platform perundingan antara ketiga-tiga peringkat kerajaan dengan memperkukuhkannya melalui pelantikan keahlian baharu dalam platform MTPMA63," katanya.